Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Mesyuarat COP-19 mengenai pencemaran jerebu merentas sempadan

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

1_Mesyuarat COP-19 mengenai pencemaran jerebu merentas sempadan.jpeg

PARA Menteri atau wakil bagi alam sekitar, tanah, kebakaran hutan dan jerebu dari negara-negara anggota ASEAN yang hadir ke Mesyuarat Ke-19 Persidangan Ahli-Ahli Parti kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (COP-19).

BANGKOK, THAILAND, Rabu, 18 Disember.

1.         Mesyuarat Ke-19 Persidangan Ahli-Ahli Parti kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (COP-19) telah diadakan pada 18 Disember 2024 di Bangkok, Thailand. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Menteri-Menteri, pegawai-pegawai dan/atau wakil bagi alam sekitar, tanah, kebakaran hutan dan jerebu, dari negara-negara anggota ASEAN, dan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN untuk Komuniti Sosio-Budaya ASEAN, di bawah Pengerusian Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Thailand, Yang Berhormat Narapat Kaeothong. Mesyuarat Ke-19 Jawatankuasa di bawah Persidangan Ahli-Ahli Parti kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (COM-19) telah terlebih dahulu diadakan.​

2.         Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah, dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

3.         Mesyuarat menegaskan semula komitmen mereka untuk memastikan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) dilaksanakan sepenuhnya dan berkesan. Mesyuarat juga menggalakkan negara-negara anggota ASEAN yang lain untuk mempercepatkan penandatanganan Perjanjian Penubuhan Pusat Koordinasi ASEAN untuk Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ACC THPC) untuk membolehkan Pusat tersebut ditubuhkan dan beroperasi sepenuhnya di Indonesia bagi memudahkan pelaksanaan AATHP yang lebih cepat dan berkesan dalam menangani pencemaran jerebu merentas sempadan di rantau ini, termasuk penubuhan komiti ACC THPC.

2_Mesyuarat COP-19 mengenai pencemaran jerebu merentas sempadan.jpeg

NEGARA Brunei Darussalam diwakili oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

4.         Mesyuarat mengambil maklum kemajuan baik dalam pelaksanaan Second Roadmap on ASEAN Cooperation towards Transboundary Haze Pollution Control with Means of Implementation (Haze-free Roadmap) 2023-2030, Second ASEAN Peatland Management Strategy (APMS) dan rangka kerja Pemantauan dan Penilaian (Monitoring and Evaluation) yang telah dipersetujui dalam memperkukuhkan, meningkatkan, dan menangani secara menyeluruh punca-punca utama pencemaran jerebu rentas sempadan. Mesyuarat mengalu-alukan penubuhan Pasukan Petugas Ad-Hoc Rangka Kerja Pelaburan ASEAN untuk Pengurusan Tanah Lestari Bebas Jerebu bagi memimpin penglibatan dan penyelarasan antara negara-negara anggota ASEAN, badan sektor berkaitan, dan rakan kongsi ke arah pelaksanaan Rangka Kerja Pelaburan ASEAN yang berjaya. Mesyuarat juga mengalu-alukan pembangunan Garis Panduan ASEAN Guideline on Burned Area and Estimation for Achieving a Haze-Free Southeast Asia bagi meningkatkan keupayaan AMS untuk memetakan, mengurus, dan mengurangkan kesan kebakaran hutan dengan berkesan. Mesyuarat mengambil maklum penggunaan Garis Panduan ASEAN mengenai Pengurangan Pembakaran Tanaman, Pelan Tindakan ASEAN mengenai Pertanian Lestari dan Laluan ASEAN untuk Karbon/Greenhouse Gas Neutrality, dan Mesyuarat Ke-46 Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF).

5.         Mesyuarat mengambil maklum laporan dari Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) mengenai bilangan titik panas di sub-rantau Mekong pada tahun 2024 adalah tinggi semasa musim kering dari Disember 2023 hingga Mei 2024. Keadaan ini meningkat pada Mac 2024 apabila Tahap Amaran 3 dikeluarkan pada 6 Mac 2024, dan jerebu merentas sempadan telah menjejaskan banyak kawasan di sub-rantau tersebut. Walaupun jumlah titik panas keseluruhan kawasan itu kekal tinggi dalam lima tahun sebelumnya, ia menurun 12.5 peratus pada tahun 2024 berbanding tahun 2023. Tahap Amaran 1 telah diaktifkan pada 17 Julai 2024 untuk permulaan musim kering di rantau ASEAN selatan. Walaupun jumlah titik panas keseluruhan di kawasan selatan ASEAN adalah agak tinggi berbanding dengan lima tahun lalu, ia menurun 44.3 peratus pada tahun 2024 berbanding pada tahun 2023. Mesyuarat mengambil maklum bahawa keadaan La Niña dijangka wujud pada bulan Disember 2024 dan akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya pada awal tahun 2025. Di kawasan selatan ASEAN, situasi titik panas dan jerebu berkemungkinan akan terus terkawal semasa musim hujan. Walaubagaimanapun, peningkatan aktiviti titik panas mungkin berlaku di kawasan tersebut semasa fasa kering Northeast Monsoon, biasanya sekitar akhir bulan Januari hingga Februari 2025. Mesyuarat juga mengambil maklum perubahan yang akan datang pada alat satelit yang digunakan oleh ASMC untuk mengesan kebakaran dan jerebu di Rantau ASEAN.

6.         Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah, dan Alam Sekitar), mengongsikan bahawa Negara Brunei Darussalam mengalami kesan jerebu pada minggu keempat bulan Mac tahun ini disebabkan turunan hujan yang rendah dan jumlah insiden kebakaran yang banyak berlaku di negara ini, dan juga kesan dari jerebu rentas sempadan. Keadaan ini menyebabkan peningkatan dalam bacaan kualiti udara dimana Pollutant Standards Index (PSI) mencapai tahap sederhana (PSI 55 ke PSI 78) di kesemua stesen pemantauan kualiti udara. Namun, turunan hujan lebat yang kadang-kadang berlaku telah membantu mengurangkan dan mencegah keadaan berjerebu daripada berterusan di negara ini. Negara Brunei Darussalam menekankan negara-negara anggota ASEAN untuk meningkatkan lagi persediaan dan kapasiti di peringkat kebangsaan bagi menangani isu pencemaran jerebu merentas sempadan yang berterusan dalam rantau ini.

7.         Mesyuarat mengambil maklum laporan yang dibentangkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengenai Sistem Penarafan Bahaya Kebakaran Asia Tenggara (SEA FDRS) di mana Indeks Cuaca Kebakaran (FWI) SEA FDRS sejajar secara konsisten dengan pemberitahuan amaran ASMC, dengan itu menunjukkan kebolehpercayaan dan ketepatan produk tersebut. Mesyuarat juga mengambil maklum pembinaan kapasiti FDRS SEA di kalangan AMS yang diadakan pada 5 dan 6 Disember 2023, untuk mengukuhkan kapasiti teknikal agensi untuk menggunakan produk FDRS SEA. MET Malaysia akan terus menambah baik SEA FDRS dengan mendapatkan bahan tambahan untuk sandaran operasi. Mesyuarat juga menyatakan bahawa produk Ramalan Cuaca Berangka (NWP) lain akan diuji untuk meningkatkan ketepatan ramalan FDRS.

8.         Mesyuarat menghargai usaha dan peranan aktif negara-negara anggota ASEAN dalam memperkukuhkan keupayaan dan menyelaraskan dasar-dasar kebangsaan dengan keutamaan serantau dalam penilaian, pencegahan, mitigasi dan pengurusan kebakaran lahan dan/atau hutan serta jerebu yang dihasilkan. Walaupun La Nina dijangka berlaku pada musim kering yang akan datang, Mesyuarat bersetuju tentang kepentingan mengambil tindakan tegas untuk meningkatkan kewaspadaan, langkah-langkah pencegahan, dan prosedur pemadaman kebakaran segera bagi mengurangkan kebakaran tanah dan hutan serta mengurangkan kejadian jerebu merentas sempadan semasa cuaca kering.

9.         Mesyuarat menghargai rakan kongsi atas komitmen dan kerjasama mereka dalam pelaksanaan AATHP. Mesyuarat mengucapkan tahniah atas kejayaan menyiapkan projek-projek di bawah pelaksanaan Sustainable Use of Peatland and Haze Mitigation in ASEAN (SUPA). Mesyuarat juga menghargai sokongan berterusan daripada Measurable Action for Haze Free Sustainable Land Management in Southeast Asia (MAHFSA) dan mengalu-alukan Projek Pemantauan Jerebu Rentas Sempadan ASEAN yang akan datang dari SERVIR Asia Tenggara. Mesyuarat menekankan mengenai kepentingan kerjasama yang lebih kukuh untuk memajukan pelaksanaan Pelan Tindakan Bebas Jerebu Kedua dan APMS Kedua ke arah ASEAN bebas jerebu dan menyeru kerjasama serta sokongan berterusan daripada rakan kongsi serantau dan global melalui Rangka Kerja Pelaburan ASEAN untuk Pengurusan Tanah Lestari Bebas Jerebu.

10.       Mesyuarat mengambil maklum bahawa Lao PDR telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Kapasiti mengenai Memperkukuh Tindakan Serantau untuk Menangani Jerebu Rentas Sempadan dan Pencemaran Plastik di Asia Tenggara; dan Tindakan Transformasi untuk Mengakhiri Pembakaran Terbuka Sisa di ASEAN yang telah diadakan pada 10-13 Disember 2024 di Vientiane selaku 2024 ASEAN Chairmanship Deliverable.

11.       Mesyuarat mengambil maklum laporan daripada Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution (MSC) dan Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution in the Mekong Sub-Region (MSC Mekong) dalam mengesahkan semula komitmen untuk menangani isu-isu yang berkaitan jerebu yang berlaku di kawasan masing-masing. Mesyuarat mengucapkan tahniah atas kejayaan MSC Ke-25 di Thailand, MSC Mekong Ke-12 di Vietnam, dan MSC Mekong Ke-13 yang baru-baru ini diadakan di Kemboja sebagai persediaan untuk musim kering yang akan datang di sub-rantau utara ASEAN. 

12.       Mesyuarat Ke-20 Persidangan Ahli-Ahli Parti Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan akan diadakan pada tahun 2025 di Malaysia, sejurus selepas Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Alam Sekitar Ke-18.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Attachments